Tuesday, August 1, 2017

Muhammad Al-Fateh : satu nama yang kian dilupakan.

Muhammad Al-Fateh : satu nama yang kian dilupakan.

"Tuanku, adalah lebih baik kita berundur. Kita tidak mungkin dapat memasuki kawasan tanduk emas itu." Penasihat Al-Fateh berkata dalam keadaan gusar. Sudah beberapa hari serangan dilakukan ke atas empayar Byzantine, namun kota konstantinopel masih lagi kelihatan jauh daripada roboh. Temboknya masih utuh.



Al-Fateh merenung jauh, tidak mungkin dia berundur. Strategi telah disusun, meriam telah diangkut jauh. Rumeli Hisari sudah siap terbina. Malah, barisan tentera pun sudah bersedia.

Cuma... Yang menjadi masalah adalah kawasan tanduk emas, atau golden horn. Sepanjang kawasan itu dipasangkan rantai besi, memisahkannya dengan selat Bosphorus.

Itu masalah utamanya. Kapal-kapal perang tidak langsung dapat melalui kawasan itu malah kemungkinan kapal itu pula yang hancur dirobek rantai besi itu! Ah, bagaimana mungkin tembok konstantinopel dirobohkan andai kapal perang tidak dapat memasuki kawasan golden horn.

Al-fateh menarik nafas, "kita harus memastikan kapal-kapal perang kita berjaya memasuki kawasan tanduk emas."

"Tapi bagaimana? Kapal-kapal kita tidak mampu melepasi rantaian itu."

Lalu, ilham dari Tuhan Yang Maha Baik pun sampai. Kata Muhammad Al-Fateh, "kita masuk ke tanduk emas melalui jalan darat!"

Ini idea gila! Sesiapa pun yang mendengarnya pada ketika itu pasti terlopong mulutnya. Kawasan darat yang dimaksudkan Al-Fateh bukanlah sekadar kawasan rata -- ia adalah kawasan berbukit bukau dan untuk menarik kapal-kapal perang yang besar saiznya benar-benar sebuah idea di luar kewarasan akal.

Namun, begitu indahnya pabila hati seorang hamba begitu tertaut kepada Pencipta. Bagi Sultan Muhammad Al-Fateh yang tidak pernah lupa untuk bangun berqiamulail -- itu adalah usahanya demi meraih redha Pencipta.

Lalu pada malam yang damai itu, 70 buah kapal perang pun ditarik melalui jalan darat yang berbukit bukau, hingga tepat memasuki Golden Horn. Mereka melaungkan takbir.

Bergegak gempitalah Byzantine pada subuh yang hening. "Allahu Akbar!" Jerit askar Al-Fateh.

Penguasa Konstantinopel terkejut besar! Ditinjau kawasan rantaian besi yang utuh itu -- tidak langsung terusik! Mindanya tertanya-tanya, bagaimanakah 70 buah kapal merentasinya? Dia lupa adanya Allah yang tak pernah leka--

Hingga akhirnya Kota Konstantinopel ditawan Al-Fateh.

Ya. Kota itu ditawan oleh seorang pemuda berusia 21 tahun. Pemuda hebat ini bukan sahaja mahir dalam bidang Agama, malah hebat dalam bidang sains, kejuruteraan, falsafah, matematik dan juga menguasai 6 bahasa.

Dari Al-Fateh kita belajar -- agar berusaha selayaknya seorang hamba, memantapkan diri dengan ilmu-ilmu yang sohih, menghormati ahli ilmu serta meletakkan redha Allah di tempat yang utama.

Saya sering membanding-bandingkan diri sendiri dengan insan hebat ini. Tatkala usianya 21 tahun, dia sudah menggegarkan dunia, sedang saya pada usia itu masih lagi mengetuk pintu bilik pensyarah minta diperdengar hafazan Al-Quran. Masih lagi mengeluh kesah memikirkan dissertation. Masih lagi tidak bermanfaat kepada yang lainnya.

Namun, bersamalah kita belajar dari Al-Fateh, yang tak pernah terfikir memberhentikan langkah walau seditik. Bergerak laju menandingi seteru, mara memperjuang kebenaran selalu, hingga akhirnya kemenangan menyeru! Kerana hakikatnya, Allah tak pernah keliru dalam mengasihi hambaNya yang berhati jitu.

Muhammad Al-Fateh.
Itulah si anak muda, beraksi menggegar dunia.
Itulah sebaik raja, itulah sebaik tentera.

No comments:

Post a Comment