Monday, July 31, 2017

Pauvre Pierrot, Filem Animasi Pertama Di Dunia

Pauvre Pierrot, Filem Animasi Pertama Di Dunia

Terimbau kenangan kita suatu ketika dahulu apabila menonton cerita kartun atau animasi, dengan berlatar belakangkan warna hitam putih seperti cerita Mickey Mouse dan tak kurang juga filem animasi tempatan iaitu Hikayat Sang Kancil. Kita menjangkakan filem-filem ini adalah antara filem animasi pertama di dunia yang wujud, bukan?



Tapi, tahukah anda, filem animasi pertama yang terlebih dahulu menjengah ke dunia animasi adalah pada tahun 1892 dan telah ditayang lebih satu abad dua dekad lima tahun lamanya! Pauvre Pierrot, adalah filem animasi pertama yang telah wujud dahulu dan diarahkan oleh seorang saintis Perancis, Charles-Emile Reynaud.



Jika dilihat semula dalam sejarah pembikinan animasi filem, ada pendapat mengatakan filem J. Stuart Blackton iaitu Humorous Phases of Funny Faces (1906) secara umumnya merupakan filem animasi pertama dibuat, kerana penghasilannya melalui kaedah motion-picture film. Akan tetapi, sejarah terdahulu tidak boleh disangkal kerana ini tidak adil untuk pembuat animasi, Emile Reynaud, apabila dia terlebih dahulu memperkenalkan kaedah pergerakan animasi gambar (moving animated images) ini, pada 14 lebih awal kepada orang ramai.

Menariknya, Reynaud menghasilkan sendiri animasi ini! Ia adalah sebuah filem animasi pendek yang berdurasi 12-15 minit sahaja dan ia melibatkan sejumlah 500 atau lebih lukisan gambar yang dilukis berasingan di dalam proses penghasilannya. Melihat kepada peribadinya iaitu seorang pengarah yang sangat berdikari dan bersungguh-sunguh, tidak mustahil untuknya menyusun sendiri animasi ini frame by frame, dan memanipulasikan sendiri gabungan gambar tersebut semasa tayangan menggunakan projektor pada masa itu.

Jalan cerita Pauvre Pierrot ini sangat mudah difahami,. Ia mengisahkan tentang dua orang jejaka, Pierrot dan Arlequin sedang bersaing untuk memenangi hati Colombine, seorang gadis yang sangat cantik. Suatu malam, Arlequin datang untuk menemui kekasihnya, Colombine, tetapi datang pula Pierrot mengetuk pintu pada masa yang sama pada malam itu. Colombine and Arlequin terus menyorok daripada pandangan Pierrot. Pierrot menyanyi disitu, dan Arlequin cuba menakutkan dia sehingga Pierrot lari daripada situ.

Pauvre Pierrot adalah salah satu filem animasi pertama yang ditayangkan bersama-sama dengan dua buah filem animasi yang lain iaitu Le Clown et ses chiens dan Un bon bock semasa pembukaan teater Charles-Emile Reynaud, pada Oktober 1892. Pauvre Pierrot adalah filem pertama yang menggunakan sistem Theatre Optique, yang telah dibangunkan oleh Reynaud pada tahun 1888. Gabungan daripada tayangan ketiga-tiga filem animasi ini, dikenali sebagai Pantomimes Lumineuse, selepas pengenalan inovasi animasi sebelumnya, iaitu Praxinoscope.

No comments:

Post a Comment