Friday, July 28, 2017

DUNKIRK 2017

DUNKIRK

Nama gah Christopher Nolan (Memento, Inception, The Dark Night Trilogy, Interstellar dan lain-lain) yang mendorong aku menonton Dunkirk.

Dunkirk mendapat rating yang tinggi di Rotten Tomatoes dan IMDB. Filem ini juga mendapat ulasan yang baik daripada pengkritik-pengkritik filem. Ia dikatakan sebagai filem terbaik Christopher Nolan, filem perang terhebat yang pernah dihasilkan dan juga dilabelkan sebagai maha karya Kubrickian.



Antara sebabnya ialah jalan cerita Dunkirk yang berbeza dengan filem perang yang lain (sekali lagi, Christopher Nolan bermain dengan timeline seperti beberapa filemnya sebelum ini). Skor muziknya yang berkesan dan mencetuskan mood. Dan sinematografinya yang mengagumkan.

Bagi aku, Dunkirk ni overrated macam Hackshaw Ridge, Train To Busan dan Wonder Women. Ia sebuah filem yang agak hebat tetapi bukan sempurna.



Eksperimen Timeline Christopher Nolan dalam Dunkirk tidak sehebat Memento, Inception dan Interstellar. Ambiguiti untuk pengakhiran Dunkirk juga tak segenius Inception dan Interstellar.

Sinematografi Hoyte van Hoytema juga tidaklah sehebat Interstellar. Malah ia tidak sehebat Janusz Kamiński dalam Saving Private Ryan. Walaupun angle babak dogfight antara juru terbang Royal Air Force dan Luftwaffe agak menarik tetapi ia masih tidak dapat menyaingi angle babak dogfight Tora! Tora! Tora!, Top Gun dan Sky Fighter.

Di sebalik kehebatan dan kedramatikan Sheparde Tonenya, skor muzik Hans Zimmer sebenarnya digunakan secara berlebihan di dalam Dunkirk. Ada babak-babak yang aku kira tidak memerlukan langsung latar muzik supaya emosi watak-watak dapat lebih ditonjolkan. Menonton Dunkirk dengan skor muzik yang berlebih-lebihan seperti membaca novel yang penuh dengan onomatopoeia yang tak perlu.

Dunkirk juga kurang drama iaitu satu elemen terpenting dalam sebuah filem perang. Yang mendramakan filem ini ialah sinematografi dan skor muziknya. Bukan watak-wataknya. Barangkali kerana itu salah satu sebab mengapa penonton disaran menonton dalam format IMAX. Tiada watak utama tidak mengapa tetapi kekurangan drama adalah satu kelemahan paling nyata filem ini.

Ada prop di dalam Dunkirk yang perinciannya kurang tepat sama ada ia disengajakan atau tidak. Ia sesuatu yang mengecewakan untuk sebuah filem yang dicanang oleh ramai pihak sebagai 'merakam sejarah'. Lebih mengecewakan kerana ia diarah oleh seorang pengarah yang dilabel sebagai 'master of prop usage'.

Jadi secara keseluruhannya, Dunkirk bukanlah filem terbaik Christopher Nolan. Bukan juga filem terbaik perang seperti yang dicanang-canang (Bagi aku Saving Private Ryan jauh lebih hebat). Tetapi ia tidak disangkal lagi antara filem terbaik untuk tahun 2017.

4/5 bintang.

p/s : 1) Aku tengok filem ni sampai habis. Tidak tertidur. :).

2) Aku lebih suka gabungan Christopher Nolan, Hoyte van Hoytema dan Hans Zimmer dalam Interstellar.

Sumber : fitri hussin

No comments:

Post a Comment